Friday, September 5, 2014

Layang-layang tidak mungkin mampu terbang

Assalamualaikum

Anak-anak kecil itu
Mereka punya impian
Berlarian di padang bawah langit cerah
Mendengar deruman enjin pesawat
Membelah dada langit
Terpaku mereka sambil tersenyum
Mampukah impian digapai
Jika mereka terpaksa merenik peluh
menyara keluarga
padahal ibu dan bapanya masih berkudrat
Mampukah bibir itu ketawa gembira
Jika tatkala mereka menginjak remaja
tulang sudah retak sebelah dan lidah
masih pelat bertanya
mata masih tak mengenal abjad sebenarnya
Mampukah impian itu digapai
Andai ruang dan peluang menimba ilmu
dicantas begitu sahaja
Tiada suara hati,tiada teriakan jiwa
Yang cuma ada angan-angan
dengan layang-layang tidak bertali

Sangat sedih melihat anak-anak yang sudah tidak bersekolah lagi.Biarpun tiada minat
bersekolah sekurang-kurangnya belajarlah sehingga habis tingkatan lima.Belajarlah
walau hanya pandai membaca dan mengira.
Anak-anak itu ibarat sehelai kain putih dan ibu bapa yang mencorakkanya.Jika kita
silap suatu ketika dahulu mengapa biarkan kesilapan yang sama berlaku pada anak-anak.
Adilkah untuk mereka?
Minat akan timbul jika ibu bapa sendiri tidak berputus asa memberi galakan pada buah hati mereka.
Bukankah anak-anak itu permata tanda kasih sayang Allah buat ibu bapa.
Antara saham pahala yang masih mengalir walau ibu bapa sudah tiada adalah doa dari anak
yang soleh.
Bukankah itu salah satu tujuan mempunyai anak?
Mengapa tega membiarkan mereka memilih jalan hidup yang penuh berselirat sejak kecil?
Tidakkah kita belajar dari nilai kehidupan masa dulu?
Sekurang-kurang anak-anak itu tahu menadah tangan berdoa pada DIA.
Sekurang-kurang anak-anak itu menjaga harapan untuk ke syurgaNya.
Jadilah tali buat layang-layang itu agar ia mampu terbang walau angin tidak selalu ada.
Moga Allah beri jalan yang lurus buat kita semua.

Moga Allah redha